Label

❌Jangan Terlalu Lama Mengamalkan Suntikan Pencegah Kehamilan


❌❌Jangan Terlalu Lama Mengamalkan Suntikan Pencegah Kehamilan

Ramai wanita muda yang datang ke klinik untuk mendapatkan suntikan pencegahan kehamilan. Saya tertanya-tanya dalam diri, apakah mereka mengetahui kesan sampingan dan bahaya-bahaya yang menanti jika mereka terus mengamalkan suntikan ini tanpa membuat pemeriksaan.

Saya pasti ramai wanita ini tidak diberitahu bahawa jika mereka mengalami sakit kepala, mengalami tekanan darah tinggi, masalah darah yang pekat atau menghadapi masalah fungsi hati (liver disease), maka mereka harus menghentikan penggunakan suntikan ini.

Untuk itu suntikan pencegah kehamilan ini harus diberikan oleh doktor yang melakukan pemeriksaan berkala kepada pesakit. Doktor harus memeriksa darah pesakit setiap kali sebelum suntikan diberikan dan melakukan pemeriksaan darah untuk liver function test, bagi memastikan fungsi hati pesakit dalam keadaan normal dan toksik dari perkumuhan hormone ini dapat dibuang dengan selamat.

“Doktor, saya datang sebab mahu meneruskan suntikan pencegahan kehamilan. Saya tidak sempat untuk ke klinik yang saya selalu pergi..”

“Sudah berapa lama puan mendapatkan suntikan ini?”

“Lebih lima tahun. Doktor yang menyuntik saya tak cakap apa-apa pun. Saya rasa tentu tidak ada masalah untuk mengambil suntikan ini, kan? ”

Saya serba salah..

Suntikan yang biasa diberikan untuk mencegah kehamilan ialah Depo-Provera iaitu suntikan yang mengandungi hormone progesterone sahaja (medroxyprogesterone acetate) atau DMPA 150mg yang memberikan kesan mencegah kehamilan dalam jangka yang lebih lama. Oleh itu suntikan ini diberikan setiap 3 bulan pada punggung atau otot bahu secara suntikan intramuscular.

DMPA mencegah kehamilan dengan cara menghalang perkembangan follicular dalam kilang telur ovari dan seterusnya menghalang ovulasi. Selain itu, ia juga membuatkan lendiran pangkal rahem cervix menjadi lebih pekat dan menghalang sperma memasuki rahem.(1)

Namun kesan ’perlindungan’ ini hanya bermula selepas seminggu suntikan diberikan.

Maksudnya selepas diberikan, jika wanita mengadakan hubungan jima’ bersama suami pada malam itu, berkemungkinan beliau boleh hamil. Jadi doktor akan memberikan suntikan itu ketika wanita itu sedang mengalami darah haid kerana ini bermakna wanita itu tidak hamil. (Wanita hamil tidak boleh diberikan suntikan pencegah kehamilan)

Selain itu, sebaik sahaja selesai kedatangan haid (selalunya mengambil masa 5-7 hari), ubat itu mula memberikan kesan perlindungan dan wanita itu boleh melakukan jima’ bersana suami tanpa risau tentang kehamilan.

“Ada kemungkinankah suntikan ini gagal dan saya hamil? Saya bertanya kerana sudah 3 bulan saya tidak kedatangan haid selepas suntikan terakhir”

Saya tidak menafikan ada kemungkinan untuk suntikan ini gagal menghalang kehamilan, iaitu secara purata sebanyak 0.3%. Ini bermakna dalam 1000 orang wanita yang mendapat suntikan, 3 orang berkemungkinan hamil atas pelbagai sebab.

Walaubagaimanapun kebanyakan masalah tidak kedatangan haid adalah disebabkan oleh kesan sampingan suntikan itu sendiri.

Suntikan Depo-Provera boleh menyebabkan masalah kitaran haids yang tidak teratur. Jadi jangan terperanjat jika mengalami kedatangan darah haids yang sedikit  dan hanya beberapa hari saja. Ada wanita yang mengadu tidak mengalami darah haid lebih dari enam bulan.

“Doktor bolehkah saya hamil semula setelah saya menghentikan suntikan ini?”

Pada amnya apabila suntikan dihentikan, seseorang wanita tidak mengalami masalah untuk hamil semula. Cuma masalahnya ialah suntikan ini boleh menyebabkan wanita tidak menjadi subur serta-merta apabila menghentikan suntikan itu. Kesuburan mereka menjadi lewat. Secara purata kesuburan akan datang semula antara 10-12 bulan selepas suntikan terakhir. Malah ada yang mengalami masalah kesuburan selepas 18 bulan.

Wanita yang mengamalkan suntikan ini melebihi 5 tahun juga boleh mengalami masalah kerapuhan tulang. Walaubagaimanapun ia minimal dan boleh diperbaiki dengan menghentikan suntikan itu.

Setakat ini belum ada bukti kukuh suntikan ini boleh meningkatkan risiko mendapat kanser payudara pada kebany

akan wanita yang sihat. Namun bagi wanita yang mempunyai ibu, saudara perempuan atau ibu saudara yang pernah mengalami kanser payudara haruslah berhati-hati. Begitu juga dengan risiko kanser pangkal rahem (cervical cancer).

“Sudah lama kah puan menerima suntikan pencegah kehamilan ini?” Tanya saya kepada seorang wanita yang berumur 45 tahun.

“Semenjak umur saya 35 tahun, doktor. Apabila umur semakin meningkat, saya takut hamil sebab suami saya masih aktif.

Saya datang haid pun sesekali”

Saya tersenyum dengan jawapan ini.

Pertama kedatangan haid yang tidak teratur berkemungkinan disebabkan oleh suntikan ini, tetapi beliau sedang memasuki fasa menopause.

Keduanya pengambilan suntikan ini tidak perlu terlalu lama, kerana kaedah suntikan pencegahan haid ini hanyalah untuk sementara.

Jika diberikan terlalu lama dibimbangi akan mendatangkan kesan yang tidak baik pada badan.

American College of Obstetricians and Gynecologists menasihatkan para doktor agar tidak memberikan suntikan ini melebihi 2 tahun jika dikhuatiri akan menyebabkan kerapuhan tulang dan kesan-kesan yang lain.

Jadi saya mencadangkan agar menghentikan suntikan ini. Saya percaya memberikan suntikan untuk jangka masa lama akan mengundang kemudharatan.

“Doktor, kenapa saya rasa sakit kepala selepas disuntik? Adakah ia disebabkan suntikan terlalu dalam dan terkena saraf saya?”

Suntikan ini harus diberikan pada otot besar seperti otot bahu atau otot punggung. Jika diberikan pada tempat yang betul, ia tidak akan menyebabkan kerosakan saraf.

Bolehjadi suntikan itu menyebabkan bengkak akibat terkena saluran darah yang kecil. Darah yang berkumpul di bawah kulit akan kelihatan lebam dan sakit bila disentuh.

Namun ubat DMPA boleh memberi kesan secara langsung pada rasa sakit kepala. Ini adalah kesan sampingan yang sering dialami oleh wanita yang mengambil suntikan ini.

Kesan sampingan yang lain rasa tidak selesa atau kadang kala merasa sakit perut terutama di bahagian ari-ari, penambahan berat badan, mudah rasa loya dan mahu muntah, mudah rasa letih dan penat (asthenia), mengalami keguguran rambut dan rasa mudah risau atau nervous.

Jadi apabila seorang wanita mengalami simptom-simptom ini, saya sering menasihatkan agar menghentikan pengambilan suntikan itu dan mengamalkan kaedah yang lain. Untuk ini harus berjumpa dengan doktor.
Walaubagaimanapun saya ingin mengingatkan bahawa jika seseorang wanita atau suami menasihatkan wanita untuk melakukan pencegahan hamil bukan atas sebab kesihatan, ia dilarang dan kebanyakan ulama memberitahu hukumnya haram.

Mengikut Muzakarah Jawatankuasa Fatwa kali ke 12 pada 20 Jan 1977 memutuskan bahawa memandulkan lelaki dan wanita secara amnya hukumnya adalah haram. Kemudian Fatwa terhadap kaedah pemandulan yang dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan Malaysia pada tahun 1981 memutuskan bahawa kaedah pemandulan yang kekal dan melemahkan dan merosakkan fungsi reproduktif seseorang individu secara kekal adalah haram.
Ini berdasarkan ayat al Quran:

“..dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana kepapaan,(sebenarnya) Kamilah memberikan rezeki pada kamu dan kepada mereka..” (Al An’am:151)
Wallahu a’lam.

Susunan: Dr Zubaidi bin Hj Ahmad

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sebarang pertanyaan berkenaan dengan Produk Jamu Bidan serta posting di sini boleh diajukan di sini atau whatsapp terus ke blogger @ 013.723.0907. Terima kasih.